Monday, 3 August 2015

Resepi Kari Kambing Sedap


Kari Kambing Sedap
Resepi kari kambing yang sedap, dan sangat sesuai jika dimakan bersama nasi hujan panas, nasi jagung atau nasi minyak. Selain itu sedap juga jika dimakan bersama roti jala. Apa yang menarik tentang kari ini rasanya makin sedap jika dipanaskan keesokan harinya. Saya gunakan pressure cooker untuk merebus daging kerana jimat masa untuk masak daging hingga empuk. Jika anda tak ada pressure cooker, jangan risau rebus saja macam biasa sehingga lembut.
Masa:
Penyediaan: 30 minit | Memasak: 2 jam | Keseluruhan: minit
Jumlah Hidangan : 6 orang

Bahan-Bahan:

  • 2 kg daging kambing bersama tulang (bahagian kaki lebih baik)
  • 4 biji kentang, kupas kulit dan potong dadu besar
  • 2 biji tomato, potong 4
  • 6 sudu besar serbuk rempah kari daging
  • 2 cawan santan pekat
  • 1 cawan santan cair
  • 2 keping asam gelugor, atau air asam jawa
  • Sedikit gula melaka
  • Garam secukup rasa
  • 1 senduk minyak, untuk menumis
Bahan untuk dibancuh dengan air:
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • 2 sudu besar serbuk kurma daging
  • 2 sudu besar kerisik
Bahan untuk dikisar:
  • 1 biji bawang besar
  • 5 biji bawang merah
  • 5-6 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 1 inci lengkuas
Bahan untuk rempah tumis:
  • 2 batang kayu manis
  • 5 biji buah pelaga
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 5 batang cengkih

Cara Penyediaan:

  1. Basuh daging kambing bersama sedikit tepung gandum sehingga bersih dan toskan.
  2. Masukkan air anggaran separuh tenggelam daging. Rebus sehingga lembut. Kalau gunakan kaedah rebus biasa masa untuk daging lembut lebih kurang 2 setengah uingga 3 jam. Jika gunakan pressure cooker anggaran masa 30 minit hingga 45 minit.
  3. Panaskan minyak, tumis bahan rempah tumis hingga naik bau. Kemudian masukkan bahan kisar halus.
  4. Masukkan rempah yang telah dibancuh air dan tumis sehingga pecah minyak. Kacau dengan kerap supaya bahagian bawah tidak hangus. Tambahkan sedikit air jika terlalu kering semasa menumis.
  5. Masukkan daging kambing yang telah direbus. Masak seketika hingga rempah meresap ke dalam daging.
  6. Kemudian masukkan air rebusan daging, santan cair, kerisik, asam gelugor atau asam jawa dan kentang. Masak sehingga mendidih dan sedikit kering.
  7. Masukkan santan pekat, gula melaka dan garam secukup rasa.
  8. Sebelum angkat masukkan tomato dan tutup api.

Resepi Nasi Goreng Daging Merah ala Thai


Nasi Goreng Daging Merah ala Thai
Resepi nasi goreng daging merah, masakan ala Thai yang menjadi menu utama di kebanyakan restoran di Malaysia. Pilih bahagian daging yang tidak terlalu kenyal atau liat. Untuk nasi goreng, hanya perlu masak nasi goreng yang simple kerana akan dipadankan dengan Daging Merah yang mengandungi banyak bahan sayuran. Cubalah....kalau masak sendiri pasti puas hati.
Masa:
Penyediaan: 20 minit | Memasak: 20 minit | Keseluruhan: 40 minit
Jumlah Hidangan : 4 orang

Bahan-Bahan:

Bahan untuk daging merah:
  • 200 gram daging
  • pewarna merah
  • 1 senduk minyak masak
  • 1 inci halia, hiris nipis
  • 3 ulas bawang putih, diketuk
  • 5 biji cili padi, tumbuk kasar supaya pecah sedikit
  • 1/4 cawan cili kisar
  • 2 sudu besar sos tomato
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar sos ikan
  • 2 helai daun limau purut
  • 3 batang kacang panjang, potong 2 inci
  • 4 biji jagung muda, potong memanjang
  • sedikit tepung jagung
  • Karot, potong memanjang
Bahan untuk nasi goreng:
  • 4 cawan nasi
  • Sayuran campur atau mixed vegie
  • 2 sudu besar cili kisar
  • 1/2 ketul kiub ayam
  • 1 biji telur
  • 2 ulas bawang putih, hiris nipis
  • 3 biji bawang merah, hiris nipis
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara Penyediaan:

Cara untuk memasak daging merah:
  1. Rebus daging di dalam air yg diletakkan sedikit pewarna merah sehingga empuk.
  2. Angkat dan sejukkan daging, kemudian hiris nipis. Simpan air rebusan daging untuk kuah.
  3. Panaskan minyak dan goreng daging sehingga sedikit garing, tapi jangan terlalu garing. Angkat dan ketepikan.
  4. Dalam minyak yang sama tumis bawang putih, halia dan cili padi sehingga naik bau.
  5. Masukkan cili kisar dan masak sehingga pecah minyak.
  6. Kemudian masukkan sos tiram, sos tomato, sos ikan dan karot. Masak seketika.
  7. Masukkan daging, kacang panjang, jagung muda dan daun limau purut yang dicarik kasar. Tuang air rebusan daging dan tambahkan sedikit bancuhan tepung jagung supaya kuah menjadi pekat. Jangan tambah terlalu banyak tepung jagung. Angkat dan hidang.
Cara untuk memasak nasi goreng:
  1. Panaskan minyak, tumis bawang putih dan bawang merah sehingga naik bau. Kemudian masukkan cili kisar dan masak sehingga pecah minyak.
  2. Masukkan sayuran campur dan kiub ayam, kemudian masukkan nasi dan kacau sebati. Buat lubang di tengah dan pecahkan telur. Masak sehingga telur sedikit keras dan kacau sebati. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.

Resepi Ayam Masak Gajus


Ayam Masak Gajus
Resepi Ayam Masak Gajus yang memang sedap, cepat juga disediakan. Harus dicuba jika anda ingin mempelbagaikan variasi lauk untuk dihidangkan kepada keluarga. Rasa gajus yang lemak memang sedap ditambah kepada masakan ini.
Masa:
Penyediaan: 15 minit | Memasak: 15 minit | Keseluruhan: 30 minit
Jumlah Hidangan : 3 orang

Bahan-Bahan:

  • 400 gram ayam, potong sederhana kecil
  • 3 ulas bawang putih, hiris nipis
  • 2 biji bawang merah, hiris nipis
  • 1/2 inci halia, hiris nipis
  • 1/2 senduk minyak masak
  • 1 cawan gajus, goreng tanpa minyak hingga naik bau.
  • 2 sudu besar cili kisar
  • 1 sudu kecil minyak bijan
  • 1 sudu besar kicap cair
  • 1 sudu besar kicap manis
  • 2 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 biji bawang besar atau bawang holland, potong bulat

Cara Penyediaan:

  1. Goreng ayam separuh masak, lebih baik di goreng di atas kuali non stick. Angkat dan asingkan.
  2. Panaskan minyak bekas gorengan ayam tadi.Tumis bawang putih, bawang merah dan halia sehingga naik bau dan kekuningan. Masukkan cili kisar dan teruskan masak sehingga pecah minyak.
  3. Masukkan ayam, kacau selama 1-2 minit, kemudian masukkan sos tiram, sos cili, minyak bijan, kicap manis, kicap cair dan gajus. Teruskan memasak sehingga ayam lembut dan masak sepenuhnya. Taburkan dengan bawang besar dan perasakan dengan sedikit garam dan gula mengikut citarasa anda.
Tips: Tujuan menggoreng dulu ayam separuh masak adalah supaya menambahkan lagi kelazatan ayam kerana apabila digoreng, bahagian luar akan garing dan berkaramel.

Resepi Ayam Masak Lemak Cili Api

resepi ayam masak cili padi



Bahan-Bahan:

  • ayam yang siap dibasuh dan ditoskan
  • 15-20 biji cili api - ditumbuk lumat (jumlah cili ikut kesesuaian kepedasan yang anda minat)
  • 1 inci kunyit hidup - ditumbuk juga bersama cili api
  • 1 batang serai - dititik sahaja
  • 1 keping asam gelugor (asam ni sesuai kalau awak nak kuah masak lemak ni masam sikit. kalau taknak pun takde hal)
  • 1 helai daun kunyit dihiris
  • 1 kotak santan kara (malas nk perah santan. guna santan kara pon sodap)
  • Air 1 cawan
  • Garam secukup rasa

Cara Penyediaan:

  1. Panaskan kuali dengan api yang paling kecil. Masukkan ayam dalam kuali panas (tak perlu minyak). Tujuannya nak bagi air ayam tu keluar agar nanti kuah lemak tak rasa hanyir ayam tu. Masukkan sekali cili api dan kunyit hidup yang telah ditumbuk ke dalam kuali dan digaul bersama ayam. Gaul dan panaskan sekejap je. Then angkat jap ayam bersama cili dan serai tadi. ketepikan sekejap
  2. Okay. Fasa ke-2, panaskan santan sahaja dalam periuk. Panaskan dengan api kecil hingga santan menggelegak.
  3. Kemudian masukkan ayam yang telah digaul bersama cili api,kunyit dan serai tadi ke dalam santan atas api kecil tu. Masukkan sedikit air ikut kesesuaian. Kacau - kacau - & teruskan mengacau. Jangan bagi santan pecah. Masukkan asam keping (kalau nak rasa masam2. kalau tak masukkan pun still lagi sedap)
  4. Masukkan garam dan lastly masukkan daun kunyit yang dah dihiris tadi..